Penyakit Buah Pinggang: Di Antara Mitos dan Fakta

Tidak semua yang anda temui pada apa juga medium pembacaan sama ada Internet atau bahan bercetak mengenai penyakit buah pinggang adalah betul. Sebahagiannya mitos, bukan fakta benar.
Jangan terperangkap dalam kekeliruan!
Berikut ialah beberapa mitos dan fakta benar yang perlu anda ketahui untuk membantu diri sendiri, juga orang lain memahami penyakit buah pinggang.
Mitos dan Fakta 1
Kononnya setiap ujian untuk penyakit buah pinggang adalah satu jenis proses dan prosedur perubatan yang lama serta mahal.
Fakta benarnya ialah kini ujian untuk penyakit buah pinggang sudah menjadi amat mudah. Penyakit ini dapat dikesan hanya dengan melakukan dua ujian mudah serta murah ketika anda membuat lawatan rutin ke mana-mana klinik atau hospital.
Ujian air kencing sahaja secara mudah sudah dapat mengesan tahap protein dalam air kencing anda. Kandungan protin di dalam air kencing boleh menjadi tanda untuk mengesyaki seseorang diserang penyakit buah pinggang.
Malah ujian darah juga secara mudah dapat menelah anggaran Kadar Penapisan Glomerular (Glomerular Filtration Rate – GFR). Hasil ujian GFR ini mampu memberi gambaran tepat mengenai tahap sejauhmana buah pinggang berfungsi.
Mitos dan Fakta 2
Kononnya jika seseorang dikesan berisiko untuk terkena penyakit buah pinggang, maka tidak ada apa lagi yang dapat dilakukan. Kononnya, berserah sajalah.
Fakta benarnya ialah mereka yang dikesan berisiko terkena penyakit buah pinggang, termasuk yang menghidap diabetes atau tekanan darah tinggi, tidak semestinya akan terkena penyakit ginjal ini.
Ia masih dapat dielak menerusi penukaran gaya hidup dan pemantauan kesihatan yang berterusan serta intensif.
Anda dapat membantu melindungi buah pinggang anda dengan pelbagai aktivit lain, termasuk melakukan senaman secara teratur, mengawal tekanan darah serta gula dalam darah, menjaga berat badan, berhenti merokok dan jangan terlalu banyak menggunakan ubat tahan sakit.
Semua langkah ini akan membantu anda menjaga kesihatan buah pinggang, sekali gus meminimumkan peluang untuk terkena penyakit buah pinggang.
Mitos dan Fakta 3
Kononnya satu-satunya rawatan untuk penyakit buah pinggang ialah hemodialisis. Tidak ada pilihan lain. Ini mitos.
Fakta benarnya ialah tidak semua penghidap penyakit buah pinggang perlu menjalani hemodialisis.
Penyakit buah pinggang ialah sejenis penyakit progresif, iaitu boleh berubah ke tahap lebih baik atau lebih kronik.
Jika masih pada tahap awal, ia biasanya dapat ditangani menerusi penjagaan kesihatan berterusan seperti senaman, pemakanan dan ubat-ubat terplih yang dikenal pasti sesuai oleh doktor perubatan.
.
Cara ini boleh sama ada melambatkan atau menghentikan terus perkembangan penyakit buah pinggang. Ini sekali gus membolehkan individu berkenaan menikmati hidup normal seperti orang lain.
Justeru, sangat penting untuk membuat ujian awal agar pelbagai langkah betul serta selamat dapat dilakukan bagi melambatkan atau menghentikan terus perkembangan penyakit ini, jika ia dikesan.
Hemodialisis atau pemindahan buah pinggang hanya diperlukan jika penyakit buah pinggang sudah berada pada tahap akhir, iaitu tahap kronik atau dikenali sebagai Chronic Kidney Desease (CKD).
Pastikan anda mendapat fakta betul mengenai penyakit buah pinggang dan jangan sesekali terperangkap dalam kekeliruan mitos yang memungkinkan anda hilang semangat juang untuk berikhtiar dan berubat!
Leave a Reply